Tuesday, June 30, 2009

Munafik mengadu domba, Si Bongkak percaya

Kau bermuka-muka
iras ribu-ribu padan satu
hari ini jadi Bakar
esok jadi Abu
lusa tulat pun belum tentu

Kau bermulut madu
kata-kata pesona digarap yakin
ditambah dengan gaya raja bahas dan senyum manis
ayat berangkai disusun bak kuih lapis
hingga sukar ditafsir niat
disebaliknya pisau cukur
yang membuat telinga akur
terangguk-angguk

Kau sebenar siapa?
bijak melontar
cerdik memutar
isu sejemput
dihidang rata berlainan rasa
melaga-laga si polan dan si polan
badai bergolak diruntun tsunami
kau berdiri berpeluk tubuh sekerat
terbahak besar
perang tumbuh merata
apa itu yang kau mahu?

Bila terjentik hidung
mula terbelalak mata
simpati diraih
mulut madu jadi hempedu
tapi lambat
nasi sudah menjadi bubur
api sudah menjadi arang

Oi Sang Munafik!
cerminlah diri
tanggalkan topeng berwarna-warna
samalah kita suburkan
rasa hormat-menghormati
dan saling percaya

Untuk Si Bongkak
kenapa membenci dan hasad?
bukankah rupa, pangkat dan darjat
kepandaian dan harta
hanya pakaian dunia?
hanya timbang amal
dapat hindarkan api Jahannam
biarkan Munafik terjun dengan labu-labunya seorang
jangan dituruti langkahnya
hahaha

2 comments:

Di pinggiran said...

Tapi ada orang yang suka mengikut si munafik tu terjun

Ada...

Penjilat kasut dan para gedebe dan kaki busuk yang rajin membodek!

alem said...

haha..macam anjing manja yang setia mengonggong tulang tak berdaging..