Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Saturday, December 4, 2010

Assalamualaikum Hijrah

Menikmati tirai Muharam.
Disaat merenung baki mega terakhir hari ini, aku menghela nafas segar sedalam-dalam diiringi aroma yang asyik, sambil menikmati ranjau yang berulit. Permai desa jauhariku ini, jauh sekangkang bedanya dengan kota nilam yang berantakan dengan runtutan nafsu dunia. Aman dan merehatkan. Udaranya juga nyaman. Sungguhpun begitu, kelihatan redup sekali langit Disember ini. Angin dan awan berpusu hebat, merampai dan bergumpal mengekang sinar, sambil sarat menggendong rahmat. Tiba masanya, curahan kasih Ilahi ini akan lembut menyimbah bumi sambil santun membawa gurindam gembira. Syukur pada-Nya, Ya Allah. Lembah kini emas berkilau, setelah beransur-ansur layu. Berita gembira dari Yang Maha Esa.
Tersentak aku oleh laungan Azan Maghrib. Hakikatnya, terasa purnama ini seakan menjerut leherku, melemahkan dadaku. Tetapi tak perlu aku bingkas melatah dan terbelit, kerana aku masih ada Sang Maha Berkuasa untuk mendengariku. Sebelum Muharam tersingkap, Hijrah kali ini haruslah aku persiap-sediakan kegembiraanku.

Friday, November 26, 2010

cekodok dan sambal

oh cekodok,
kau yang dihangatkan oleh sang petang,
hangat lagi terasa di tangan,
gumpalan yang gebu keperangan,
terasa gendut dan nyaman bila ditelan,
resepi temurun yang utuh berzaman,
masih kekal keunggulan,
masih segar dalam ingatan,
masih mesra dalam santapan.
tapi hilang seri jika tiada peneman,
sambal tumis sebagai pemanis senyuman.

inilah yang membuatkan diri tak keruan,
gelagat mereka yang sentiasa dirindukan,
dikala sinar pagi di rantauan.

Friday, June 18, 2010

Dasyatnya pemodenan

pemodenan,
diteroka setiap lapisan,
hingga terampilnya teras,
malangnya,
pentela'ahan dipulaukan,
hingga tirisnya pembangunan,

pemodenan,
sering diigaukan,
oleh para bangsawan,
yang berdiri di pentas mendabik dada,
berdengus, "akulah pembela negara".

malangnya,
rakyat jelata tak dihiraukan,
dihamparkan di lautan pemodenan ciptaan,
tanpa belas ikhsan,
tanpa keseimbangan,
terkapai-kapai mencari pelabuhan,

itulah dasyatnya pemodenan,
apabila membelakangkan amanat Tuhan.
kembalilah wahai pemimpin!

Monday, April 12, 2010

masih perlu

Kiranya aku masih perlukan,
sekudrat tongkat yang teguh,
sekeringat semangat,
sehangat genggam yang ampuh.

aku masih perlu.
semuanya

Sunday, April 4, 2010

Resam Hidup

garis-garis,
di tiapnya penuh sadis,
seperti ruam yang menghiris,

putus-putus,
rona yang berarus,
seperti tali yang terputus,

kecantikan paras yang terukir
menyemai keindahan yang terlahir
pabila gelungsur di pipi menzahir
hikayatlah ia dengan solekan terakhir

ibarat rencah dan masakan,
juga pena dan kertas,
menjelaskan yang hidup ini,
kita sendiri yang harus corakkan,
samada lukisan indah,
mahupun contengan hitam,

sebelum syahadah terakhir dihembuskan.

Saturday, March 27, 2010

senyum seperti selalu

kerut-kerut di wajah
dilitup oleh bayangan
warong-warong kecil
yang ditemani peniaga
juga pembeli yang merayu harga

kenderaan-kenderaan pula
sibuk menceritakan
di halaman jalan yang sempit
matahari makin terik memancar
perlahan terus bersuraman

kini awan mulai menangis
titis-titis anaknya mencecah ubunku
sebelum hujan berlari
perlu aku lebih awal berlari

kerana rumahku
bila tangan menguak pintu
ingin melihat semuanya senyum seperti selalu
............

Sunday, March 21, 2010

Lembahan Nanti

mustahil arus akan berpatah ke hulu.
jadi teruskan la berdayung.teguhkan pergelangan dan kuatkan dayungan.
sebelum danau dirisik, lembah yang indah lama menanti.

Tuesday, March 9, 2010

Si Sepatu Yang Tiada Tapak

Jahilkah engkau? menganiaya batu bukan pada temanya?
enak saja membaling, tapi tangan cepat-cepat disembunyikan.

kasihan si fulan, terkumit-kumit bibirnya,
kerana menduga ia hanya seketul batu yang gebu.

apa kau tiada peri belas kasihan?
ah, lebih kata dari buatnya.

baik kau tonggeng saja, sambil loncat tergolek.
kemudian kau sendiri yang rasa perinya.

Wednesday, February 17, 2010

Embun

melihat tingginya,
terasa keinginan sang rumput,
inginnya dibelai oleh sang embun yang basah,
juga sang angin yang datang menyinggah,
sebelum tetesnya kembali ke bumi,
embun akan berulang menggembirakan,
dengan sentuhan segarnya,
sungguhpun cuaca terik hari ini.

Sunday, February 7, 2010

masam-masam manis

terlalu pantas menabur,
bimbangkan,
jika terlucut pegang,
pantas bertabur,

perlukah dulang?
untuk mengasingkan sepersatu kepentingan?

perlu,
sampaikan tertebus yang dihajat,
manis yang tersangat ingin dilaungi.

Saturday, February 6, 2010

belum ketemu jalan pulang

jalan pulang,
masih halus niatku,
belum terluah kebatilannya,
jelas disebalik suram,
tertiarap mengharap,
sisa pembelaan,
silam yang menghalal nista,
yang mengharam luhur,

jalan pulang,
apakah ianya tinta benar hatiku,
atau jelmaan palsu benakku,
riak wajahku,
meraut muram,
silam berbisik-bisik pujian,
berdamba-damba hasutan,

gerun dan debar,
menyapa-nyapa,
tetapi apakan daya,
mencari baki suluhan,
di kelibat lorong,
aduhai,
terkedu kesempitan,
belum kutemu jalan pulang.

Wednesday, January 20, 2010

Sehelai Daun

rasakah basahnya
air mata yang mengalir
di pipi yang tandus
apakah itu kebenaran
yang jauh tersirat

angin yang berhembus
menyejukkan dada
sambil langkah mendongak
hati berteriak kecil
apakah langit masih bersinar

terdiri membisu
sambil mendokong
lutut yang berharap
melolong halus
apakah aku sungguh berdosa
kau ampunilah aku

sesekali merintih
mengesotkan kaki ke bumi
hingga hilang arah
bunyi gempita
melingkupkan kata
yang tak terjemah

oh Tuhan
sesungguhnya aku hanyalah
sehelai daun
yang selama menunggangi angin
masih tak tahu darat yang dicita

Thursday, December 24, 2009

Persediaan

aduhai
bercampingan tutur
bersiuran gayanya

wataknya dicurigai sendiri
mengira detik sepersatu
sambil terus melangkah
hilai tawa sibuk
orang yang berserakan
menambah lagi desus

aduhai
tanggapan yang merencana
rancak menghauskan

arus menanti terus
setiapnya menaruh pembalikan
menghadirkan sepersaat nikmat
selagi belum tiba

Wednesday, October 14, 2009

hati-hati

lupakah tanah,
segayung resah yang kau curah,
segenggam darah yang kau tadah,
terpalit merahnya,
di hati-hati.

Saturday, September 12, 2009

Selangit Damai

Lihatlah sana
benar-benar di gigi awan
burung-burung camar berterbangan

Lihatlah sana
tepat di lidah langit
mega senja jingga kemerahan

Lihatlah sana
diperkarangan ombak
tertulis puisi beritma

Lihatlah sana
sang kecil berlari di tepian
ketawa, menghilai indah

Lihatlah sana
para penghuni pantai
turut menemani dengan siulan

Lihatlah sana
saki baki petang yang tenang
sebelum malam menghabiskan sisa senja
rasailah sepuasnya nikmat sehari yang damai
esok terbitnya tentu belum pasti

Tuesday, September 8, 2009

fokus yang hilang

nampak tenang air di permukaan,
dalamnya gelombang dasyat,
nampak seri bunga di darat,
tapi akarnya berserabut.
nampak licin,rata lantai,
tapi retak di bawah siapa la tahu.

Thursday, September 3, 2009

keras hati

sekeras kulit,lagikan isinya
itulah hati yang keras
dipandu akal yang lemas

lembut gigi kau dari lidah
malam berganti malam berlalu
tak pernah teringin melihat siang

Tuesday, September 1, 2009

Hujan Lebat

hujan lebat di pagi Ramadhan.
gerak terbatas.
air berdetap jatuh ke atas zink.
meragui detik jam di pergelangan.
seperti cepat masa pergi.
langit muram.

mungkinkah ini rahmat?

dari tuhan,untuk menyejukkan.
untuk aku.
tinggal hanya bantal busuk dan tilam bujang.

Friday, August 28, 2009

erat-erat

kasih ibu tiada akhirnya,
kasih bapa tiada gantinya,
genggam erat-erat,
peluk dalam-dalam,
kasih penghubung erat,
rindu berhias salam,

untuk semua silaturrahim,
marilah berpimpinan.

Tuesday, August 25, 2009

bibir naluri

seperti pelarian di tanah tandus
bersama ribut pasir
sepasang tangan yang terlilit besi
lemahku mundar mandir
seketika,
langkahan ku berombak,
sambil berkompaskan timur,barat,utara dan selatan
terus saja aku berlari

tetapi apakan daya
larian yang tak berpenamat
terhenti sendiri
saat rantai terikat meregang
pada tiang lurus yang kuat
tercampak aku kebelakang
melantun deras menghempap bumi

satu petanda yang pasti
mungkin aku dapat berlari lagi
tapi mustahil aku dapat berlari dari diri sendiri