Thursday, July 9, 2009

Melepaskan batuk ke tangga?

Apakah selama ini cuma melepaskan batuk ke tangga?
mencurahkan air ke daun keladi?
hanya berhalusinasi, atau sebenarnya memasang visi?
terlalu yakin air yang disalurkan ke dalam buluh yang panjang, keluar menjadi air gula.
walau bertahun terpaksa menunggu.
atas omongan bahawa kepastian untuk kejayaan yang ditagihkan.
sekalipun terpaksa mengorbankan kepentingan lain, atas kuasa memutuskan yang dimiliki.
kuasa yang berupa mandat.
apakah sebenarnya yang diimpikan?
pelaksanaan sesuatu dasar, harus diangkat mengikut skop perspektif yang meluas.
itulah apa yang dimaksudkan 'mandat'.
tepukkan dada tanya selera.

Bertahun menelan air liur sendiri.
yang lama kelamaan menjadi racun.
racun yang kemudian diminumkan kepada anak sendiri.
bila sudah mati anak.
bila sudah terjuih pekung di dada.
barulah sedar akan silap sendiri.
hendak mimpi yang indah,
tapi disuruh baca doa sebelum tidur pun tak mahu.
penghabisannya cuma mimpi buruk yang buat sendiri berpeluh-peluh.
hahaha

yang kurik itu kendi,
yang merah itu saga,
yang baik itu budi pekerti,
yang indah itu bahasa ibunda,

bahasa yang sarat nilai dan kaya dengan sejarah tersendiri.
bahasa yang diakui dunia akan struktur kosa katanya yang unik.
bahasa yang diyakini dapat menyatukan.
bahasa yang takkan kering dihirup zaman.
bahasa yang tidak membelakangi pencintanya.
itulah BAHASA MELAYU.

No comments: