Peribahasa Melayu
- 'Kuman menjadi barah' (pekung) iaitu perkara kecil menjadi besar kerana dibiarkan.
- 'Kuman di seberang lautan tampak, gajah (bertengger) di pelupuk mata tiada tampak'. Maksud peribahasa ini, kesalahan orang lain dapat dilihat sedangkan kesalahan diri sendiri tidak disedari.
- 'Matilah kuman kena pelantik sekalian alam limpah darahnya'. Bermaksud, orang kebanyakan berkahwin dengan orang bangsawan, menjadi buah mulut orang akan halnya.
- 'Mencungkil kuman dengan alu' pula bermaksud membuat pekerjaan yang sia-sia. Contohnya, usaha meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan murid dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah sia-sia. Ini terbukti dengan pemansuhan program tersebut yang diumumkan baru-baru ini kerana analisis keputusan pelajar yang jatuh merosot.
- Contoh kisah termasyhur mengenai penggunaan istilah 'kuman' adalah semasa peristiwa Sultan Melaka pergi meminang Puteri Gunung Ledang.
Antara syarat-syarat peminangan yang diminta puteri itu kepada Tun Mamat dan Laksamana Hang Tuah difahamkan adalah seperti berikut:- 1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
- 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
- 7 dulang hati nyamuk.
- 7 dulang hati 'kuman'.
- 7 tempayan air mata anak dara.
- 7 tempayan air pinang muda.
- 1 mangkuk darah anak raja
Hanya permintaan terakhir syarat peminangan itu yakni semangkuk darah anak raja saja yang tak dapat dipenuhi Sultan Melaka. Pada kefahaman umumnya, mungkin kisah peminangan agung ini hanyalah cerita berkias untuk disandarkan pada kezaliman pemerintah sahaja. Namun, apa yang menarik perhatian kita ialah kefahaman rakyat umum mengenai kehadiran 'kuman' itu di dalam masyarakat Melayu.
Dan apa yang pasti, ketika orang Melayu mula mencipta istilah 'kuman' dan mula faham pengertian, konsep, gambaran yakni binatang yang dapat difahami sebagai halus dan sukar dilihat mata kasar (sekalipun tiada penggunaan mikroskop), pada masa itu belum ada dasar yang memaksa Melayu era zaman keemasannya (Kesultanan Melayu Melaka, Sriwijaya, Majapahit dll) belajar, berguru dalam bahasa penjajah; baik Inggeris mahu pun Portugis.
Lagi, perlu diingatkan juga, istilah 'kuman' ini mungkin juga merupakan satu dari beribu-ribu istilah sains lain yang difahami masyarakat Melayu dahulu. Bagaimana dengan racun, kulat dan istilah-istilah yang lain? Jelasnya Bahasa Melayu itu sendiri tidak pernah miskin dari istilah sains. Bukan dari segi istilah sahaja, tapi kefahaman dan pengkajian sains itu sejak dahulu kala di bumi Melayu itu memang tidak dapat disangkal lagi. Wallahua'alam.
No comments:
Post a Comment